Terma Perkhidmatan
Selamat Datang ke Facebook!
Facebook membina teknologi dan perkhidmatan yang membolehkan orang ramai saling berhubung antara satu sama lain, membina komuniti dan mengembangkan perniagaan. Terma ini mentadbir penggunaan anda ke atas Facebook, Messenger dan produk, ciri, aplikasi, perkhidmatan, teknologi dan perisian yang kami tawarkan (Produk Facebook atau Produk), kecuali apabila kami menyatakan dengan jelas bahawa terma yang berasingan (dan bukan Terma ini) terpakai. Produk ini disediakan kepada anda oleh Facebook, Inc.
Kami tidak mengenakan bayaran kepada anda untuk menggunakan Facebook atau produk dan perkhidmatan lain yang dilindungi oleh Terma ini. Sebaliknya, perniagaan dan organisasi membayar kami untuk menyiarkan iklan produk dan perkhidmatan mereka kepada anda. Dengan menggunakan Produk kami, anda bersetuju bahawa kami boleh menunjukkan iklan kepada anda yang kami rasa berkaitan dengan anda dan minat anda. Kami menggunakan data peribadi anda untuk membantu kami menentukan iklan yang hendak ditunjukkan kepada anda.
Kami tidak menjual data peribadi anda kepada pengiklan dan kami tidak berkongsi maklumat yang mengenal pasti anda secara langsung (seperti nama, alamat e-mel atau maklumat hubungan anda yang lain) dengan pengiklan kecuali anda memberi kami kebenaran tertentu. Sebaliknya, pengiklan boleh memberitahu kami perkara seperti jenis penonton yang ingin mereka siarkan iklan dan kami memaparkan iklan tersebut kepada orang yang mungkin berminat. Kami menyediakan laporan kepada pengiklan tentang prestasi iklan mereka yang membantu mereka memahami cara orang berinteraksi dengan kandungan mereka. Lihat Bahagian 2 di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.
Dasar Data kami menerangkan cara kami mengumpul dan menggunakan data peribadi anda untuk menentukan iklan yang anda lihat dan menyediakan semua perkhidmatan lain yang diterangkan di bawah. Anda juga boleh pergi ke tetapan pada bila-bila masa untuk menyemak pilihan privasi yang anda ada tentang cara kami menggunakan data anda.
1. Perkhidmatan yang kami sediakan
Misi kami adalah untuk memberi kuasa kepada orang ramai untuk membina komuniti dan mengeratkan hubungan sejagat. Untuk membantu memajukan misi ini, kami menyediakan Produk dan perkhidmatan seperti yang diterangkan di bawah:Menyediakan pengalaman peribadi kepada anda:
Pengalaman anda di Facebook tidak sama seperti yang dialami oleh orang lain: daripada siaran, cerita, acara, iklan dan kandungan lain yang anda lihat dalam Suapan Berita atau platform video kami sehinggalah Halaman yang anda ikuti serta ciri-ciri lain yang mungkin anda gunakan, seperti Sohor Kini, Marketplace dan carian. Kami menggunakan data yang kami ada - contohnya, tentang sambungan yang anda lakukan, pilihan dan tetapan yang anda pilih, perkara yang anda kongsikan dan lakukan di dalam dan di luar Produk kami - untuk memperibadikan pengalaman anda. Menghubungkan anda dengan orang dan organisasi yang penting buat anda:
Kami membantu anda mencari dan berhubung dengan orang, kumpulan, perniagaan, organisasi dan perkara lain yang penting buat anda di seluruh Produk Facebook yang anda gunakan. Kami menggunakan data yang ada untuk membuat cadangan untuk anda dan orang lain - contohnya, kumpulan untuk disertai, acara untuk dihadiri, Halaman untuk diikuti atau mesej untuk dihantar, tayangan untuk ditonton dan orang yang mungkin anda ingin jadikan sebagai rakan. Hubungan yang lebih erat mewujudkan komuniti yang lebih baik dan kami percaya perkhidmatan kami amat berguna apabila seseorang dihubungkan dengan orang, kumpulan dan organisasi yang penting buat mereka. Memperkasakan anda untuk meluahkan diri dan berkomunikasi tentang perkara yang penting buat anda:
Terdapat banyak cara untuk anda meluahkan perasaan di Facebook dan berkomunikasi dengan rakan-rakan, keluarga serta orang lain tentang perkara yang penting buat anda - contohnya, berkongsi kemas kini status, foto, video dan cerita di seluruh Produk Facebook yang anda gunakan, menghantar mesej kepada rakan atau beberapa orang, mencipta acara atau kumpulan, atau menambahkan kandungan pada profil anda. Kami juga telah membangunkan dan terus menerokai cara baharu untuk orang ramai menggunakan teknologi, seperti realiti berperantara dan video 360 untuk mencipta dan berkongsi kandungan yang lebih ekspresif dan menarik di Facebook. Membantu anda menemui kandungan, produk dan perkhidmatan yang mungkin menarik perhatian anda:
Kami menunjukkan iklan, tawaran dan kandungan ditaja yang lain kepada anda untuk membantu anda menemui kandungan, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai perniagaan dan organisasi yang menggunakan Facebook dan Produk Facebook yang lain. Bahagian 2 di bawah menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci. Membanteras kelakuan yang berbahaya dan melindungi serta menyokong komuniti kami:
Orang ramai hanya akan membina komuniti di Facebook sekiranya mereka berasa selamat. Kami melantik pasukan yang berdedikasi di seluruh dunia dan membangunkan sistem teknikal yang maju untuk mengesan penyalahgunaan Produk kami, perlakuan berbahaya terhadap orang lain dan situasi apabila kami boleh membantu untuk menyokong atau melindungi komuniti kami. Jika kami mendapat tahu tentang kandungan atau perlakuan seperti ini, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya - contohnya, menawarkan bantuan, mengeluarkan kandungan, membatalkan atau menyekat akses kepada ciri tertentu, menyahdayakan akaun atau menghubungi penguat kuasa undang-undang. Kami berkongsi data dengan Syarikat Facebook lain apabila kami mengesan penyalahgunaan atau perlakuan yang berbahaya oleh seseorang yang menggunakan salah satu Produk kami. Menggunakan dan membangunkan teknologi maju untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan berfungsi untuk semua orang:
Kami menggunakan dan membangunkan teknologi maju - seperti kecerdasan buatan, sistem pembelajaran mesin dan realiti berperantara - supaya orang ramai boleh menggunakan Produk kami dengan selamat tanpa mengira keupayaan fizikal atau lokasi geografi. Contohnya, teknologi seperti ini membantu orang yang mempunyai masalah penglihatan memahami perkara dan orang yang berada dalam foto atau video yang dikongsikan di Facebook atau Instagram. Kami juga membina rangkaian dan teknologi komunikasi yang canggih untuk membantu lebih ramai orang berhubung dengan internet di kawasan yang mempunyai akses terhad. Malah, kami membangunkan sistem automatik untuk meningkatkan keupayaan kami mengesan dan membuang aktiviti yang mendatangkan ancaman dan berbahaya yang boleh memudaratkan komuniti dan integriti Produk kami. Menyelidik cara untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih baik:
Kami terlibat dalam penyelidikan untuk membangunkan, menguji dan meningkatkan Produk kami. Ini termasuk menganalisis data yang kami ada tentang pengguna kami dan memahami cara orang ramai menggunakan Produk kami, contohnya dengan menjalankan tinjauan dan ujian serta penyelesaian masalah ciri-ciri baharu. Dasar Data kami menerangkan cara kami menggunakan data untuk menyokong penyelidikan ini bagi tujuan membangunkan dan meningkatkan perkhidmatan kami. Menyediakan pengalaman konsisten dan lancar merentasi Produk Syarikat Facebook:
Produk kami membantu anda mencari dan berhubung dengan orang, kumpulan, perniagaan, organisasi, dan perkara lain yang penting buat anda. Kami mereka bentuk sistem kami agar anda mendapat pengalaman yang konsisten dan lancar merentasi pelbagai Produk Syarikat Facebook yang anda gunakan. Contohnya, kami menggunakan data tentang orang yang berhubung dengan anda di Facebook bagi memudahkan anda berhubung dengan mereka di Instagram atau Messenger, dan kami membolehkan anda berkomunikasi dengan perniagaan yang anda ikuti di Facebook menerusi Messenger. Mendayakan akses global kepada perkhidmatan kami:
Bagi mengendalikan perkhidmatan global, kami perlu menyimpan dan mengagihkan kandungan serta data dalam pusat data dan sistem kami di seluruh dunia, termasuklah di luar negara tempat anda bermastautin. Infrastruktur ini boleh dikendalikan atau dikawal oleh Facebook, Inc., Facebook Ireland Limited atau anak syarikatnya. 2. Cara perkhidmatan kami dibiayai
Daripada membayar untuk menggunakan Facebook dan produk serta perkhidmatan lain yang kami tawarkan, dengan menggunakan Produk Facebook yang dilindungi di bawah Terma ini, anda bersetuju bahawa kami boleh menunjukkan kepada anda iklan yang dibayar oleh perniagaan dan organisasi untuk melakukan promosi di dalam dan luar Produk Syarikat Facebook. Kami menggunakan data peribadi anda, seperti maklumat tentang aktiviti dan minat anda untuk menunjukkan iklan yang lebih relevan kepada anda. Melindungi privasi orang lain adalah utama seperti mana kami telah mereka bentuk sistem iklan kami. Ini bermakna kami boleh menunjukkan kepada anda iklan yang berkaitan dan berguna tanpa memberitahu pengiklan tentang identiti diri anda. Kami tidak menjual data peribadi anda. Kami membenarkan pengiklan memberitahu kami perkara seperti matlamat perniagaan mereka dan jenis penonton yang mereka mahu melihat iklan mereka (sebagai contoh, orang yang berumur antara 18-35 yang suka berbasikal). Kami kemudiannya akan menunjukkan iklan mereka kepada orang yang mungkin berminat. Kami juga menyediakan laporan kepada pengiklan tentang prestasi iklan mereka yang membantu mereka memahami cara orang berinteraksi dengan kandungan mereka di dalam dan luar Facebook. Misalnya, kami memberikan maklumat demografi dan minat umum kepada pengiklan (misalnya, satu iklan dilihat oleh seorang wanita yang berumur antara 25 dan 34 tahun yang tinggal di Madrid dan suka kejuruteraan perisian) untuk membantu mereka memahami penonton mereka dengan lebih baik. Kami tidak mengongsikan maklumat yang mengaitkan diri anda secara langsung (maklumat seperti nama atau alamat e-mel anda yang boleh digunakan untuk menghubungi atau mengenal pasti diri anda) melainkan anda memberikan kebenaran tertentu kepada kami. Ketahui lebih lanjut tentang cara iklan Facebook berfungsi di sini. Kami mengumpul dan menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan perkhidmatan yang diterangkan di atas kepada anda. Anda boleh mengetahui cara kami mengumpul dan menggunakan data anda dalam Dasar Data kami. Anda mempunyai kawalan terhadap jenis iklan dan pengiklan yang anda lihat serta jenis maklumat yang kami gunakan untuk menentukan iklan yang kami tunjukkan kepada anda. Ketahui lebih lanjut.3. Komitmen anda terhadap Facebook dan komuniti kami
Kami menyediakan perkhidmatan ini kepada anda dan orang lain untuk membantu memajukan misi kami. Oleh itu, kami memerlukan anda untuk melaksanakan komitmen berikut:1. Orang yang boleh menggunakan Facebook
Apabila orang ramai berpegang teguh dengan pandangan dan tindakan mereka, komuniti kita menjadi lebih selamat dan lebih bertanggungjawab. Oleh itu, anda perlu: - Menggunakan nama yang sama seperti yang digunakan dalam kehidupan seharian.
- Menyediakan maklumat yang tepat tentang diri anda.
- Mencipta satu akaun sahaja (milik anda sendiri) dan menggunakan garis masa bagi tujuan peribadi.
- Tidak berkongsi kata laluan, memberikan akses akaun Facebook anda kepada orang lain atau memindahkan akaun anda kepada orang lain (tanpa keizinan kami).
- Anda berumur di bawah 13 tahun.
- Anda adalah pesalah seks yang disabitkan.
- Kami telah menyahdayakan akaun anda sebelum ini kerana pelanggaran Terma atau Dasar kami.
- Anda dilarang daripada menerima produk, perkhidmatan atau perisian kami di bawah undang-undang yang berkenaan.
2. Perkara yang boleh anda kongsikan dan lakukan di Facebook
Kami ingin orang ramai menggunakan Facebook untuk meluahkan diri mereka dan berkongsi kandungan yang penting buat mereka, namun tidak memudaratkan keselamatan dan kesejahteraan orang lain atau integriti komuniti kami. Maka anda bersetuju untuk tidak terlibat dengan perlakuan seperti yang diterangkan di bawah (atau untuk membantu atau menyokong orang lain untuk melakukan sedemikian): - Anda tidak boleh menggunakan Produk kami untuk melakukan atau berkongsi sesuatu yang:
- Melanggar Terma ini, Standard Komuniti dan terma dan dasar lain kami yang terpakai kepada penggunaan anda di Facebook.
- Menyalahi undang-undang, mengelirukan atau bersifat penipuan.
- Melanggar atau menceroboh hak orang lain, termasuk hak harta intelek mereka.
- Anda tidak dibenarkan memuat naik virus atau kod hasad atau apa-apa perkara yang boleh menyahdayakan, membebankan atau merosakkan fungsi atau penampilan Produk kami.
- Anda tidak boleh mengakses atau mengumpulkan data daripada Produk kami menggunakan kaedah automatik (tanpa keizinan kami terlebih dahulu) atau cuba mengakses data yang anda tiada keizinan untuk mengaksesnya.
3. Keizinan yang anda berikan kepada kami
Kami memerlukan keizinan tertentu daripada anda bagi menyediakan perkhidmatan kami: - Keizinan menggunakan kandungan yang dicipta dan dikongsi oleh anda: Sesetengah kandungan yang anda kongsi atau muat naik, seperti foto atau video, boleh dilindungi oleh undang-undang harta intelek.Anda memiliki hak harta intelek (perkara seperti hak cipta atau tanda dagangan) dalam mana-mana kandungan yang anda cipta dan kongsi di Facebook dan Produk Syarikat Facebook lain yang anda gunakan. Tiada apa-apa dalam Terma ini yang mengambil hak yang anda miliki untuk kandungan anda sendiri. Anda bebas berkongsi kandungan anda dengan sesiapa sahaja, di mana jua anda mahukan.Walau bagaimanapun, untuk menyediakan perkhidmatan, kami memerlukan anda untuk memberi kami beberapa kebenaran undang-undang (dikenali sebagai 'lesen') bagi menggunakan kandungan ini. Ini semata-mata untuk tujuan menyediakan dan meningkatkan Produk dan perkhidmatan kami seperti yang diterangkan dalam Bahagian 1 di atas.Khususnya, semasa anda berkongsi, menyiar atau memuat naik kandungan yang dilindungi oleh hak harta intelektual pada atau berhubung dengan Produk kami, anda memberikan lesen yang bukan eksklusif, boleh dipindahkan, sublesen, tanpa royalti dan lesen seluruh dunia kepada kami untuk mengehos, menggunakan, mengagihkan, mengubah suai, menjalankan, menyalin, melaksanakan atau memaparkan secara umum, menterjemah dan mencipta karya terbitan daripada kandungan anda (seiring dengan tetapan privasi dan aplikasi anda). Ini bermakna, contohnya jika anda berkongsi foto di Facebook, anda memberikan keizinan kepada kami untuk menyimpan, menyalin dan berkongsi dengan orang lain (sekali lagi, seiring dengan tetapan anda) seperti penyedia perkhidmatan yang menyokong perkhidmatan kami atau Produk Facebook lain yang anda gunakan. Lesen ini akan tamat apabila kandungan anda dipadamkan daripada sistem kami.Anda boleh memadam kandungan secara berasingan atau sekali gus dengan memadam akaun anda. Ketahui lebih lanjut tentang cara untuk memadamkan akaun anda. Anda boleh memuat turun salinan data anda pada bila-bila masa sebelum memadamkan akaun anda.Apabila anda memadam kandungan, ia tidak lagi dapat dilihat oleh pengguna lain, walau bagaimanapun ia boleh terus wujud di tempat lain dalam sistem kami kerana:
- pemadaman segera tidak boleh dilakukan disebabkan oleh had teknikal (dalam hal ini, kandungan anda akan dipadamkan dalam masa 90 hari maksimum dari masa anda memadamkannya);
- kandungan anda telah digunakan oleh orang lain mengikut lesen ini dan mereka tidak memadamkannya (dalam hal ini, lesen ini akan terus digunakan sehingga kandungan itu dipadamkan); atau
- sekiranya pemadaman segera akan menyekat keupayaan kami untuk:
- menyiasat atau mengenal pasti aktiviti menyalahi undang-undang atau pelanggaran terma dan dasar kami (sebagai contoh, untuk mengenal pasti atau menyiasat penyalahgunaan Produk atau sistem kami);
- mematuhi kewajipan undang-undang, seperti pemeliharaan bukti; atau
- mematuhi permintaan pihak berkuasa kehakiman atau pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang atau agensi kerajaan;
dalam hal ini, kandungan itu akan disimpan tidak lebih daripada yang diperlukan bagi tujuan kandungan itu disimpan (tempoh yang tepat berbeza-beza mengikut kes). Dalam setiap kes di atas, lesen ini akan diteruskan sehingga kandungan telah dipadamkan sepenuhnya. - Keizinan untuk menggunakan nama, gambar profil dan maklumat berkenaan tindakan anda terhadap iklan dan kandungan yang ditaja: Anda memberikan kami keizinan untuk menggunakan nama dan gambar profil serta maklumat tentang tindakan yang telah anda ambil di Facebook bersebelahan atau berkaitan dengan iklan, tawaran dan kandungan lain yang ditaja yang kami paparkan di seluruh Produk kami tanpa apa-apa pampasan kepada anda. Contohnya, kami mungkin menunjukkan kepada rakan anda jika anda berminat dalam acara yang diiklankan atau anda telah menyukai Halaman yang dicipta oleh suatu jenama yang membayar kami untuk menayangkan iklan mereka di Facebook. Iklan seperti ini hanya boleh dilihat oleh orang yang mempunyai keizinan anda untuk melihat tindakan yang telah anda ambil di Facebook. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang tetapan iklan dan pilihan utama anda.
- Keizinan untuk mengemas kini perisian yang anda gunakan atau muat turun: Jika anda memuat turun atau menggunakan perisian kami, anda memberi kami kebenaran untuk memuat turun dan memasang kemas kini kepada perisian apabila tersedia.
4. Had penggunaan harta intelektual kami
Jika anda menggunakan kandungan yang dilindungi oleh hak harta intelektual yang kami miliki dan tersedia dalam Produk kami (contohnya, imej, reka bentuk, video atau bunyi yang kami sediakan yang anda tambahkan pada kandungan yang anda cipta atau kongsikan di Facebook), kami mengekalkan semua hak terhadap kandungan tersebut (tetapi bukan yang dimiliki oleh anda). Anda hanya boleh menggunakan hak cipta atau tanda dagangan (atau sebarang tanda yang sama) seperti yang dibenarkan secara nyata oleh Garis Panduan Penggunaan Jenama kami atau dengan keizinan bertulis daripada pihak kami terlebih dahulu. Anda mesti mendapatkan keizinan bertulis daripada kami (atau keizinan di bawah lesen sumber terbuka) untuk mengubah suai, mencipta karya terbitan, menyusun semula atau sebaliknya cuba untuk mengekstrak kod sumber daripada kami. 4. Peruntukan tambahan
1. Mengemas Kini Terma kami
Kami sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perhidmatan kami dan membangunkan ciri baharu untuk menjadikan Produk kami lebih baik untuk anda dan juga komuniti kami. Oleh itu, kami mungkin perlu mengemas kini Terma ini dari semasa ke semasa untuk memastikan agar Terma ini menggambarkan perkhidmatan dan amalan kami dengan tepat. Melainkan jika dikehendaki oleh undang-undang, kami akan memaklumkan kepada anda sebelum kami membuat apa-apa perubahan terhadap Terma ini dan memberikan peluang kepada anda untuk menyemaknya sebelum ia berkuat kuasa. Setelah mana-mana Terma yang dikemas kini mula berkuat kuasa, anda akan mula terikat jika anda terus menggunakan Produk kami. Kami berharap anda terus menggunakan Produk kami, namun sekiranya anda tidak bersetuju dengan Terma yang dikemas kini dan tidak lagi ingin menjadi sebahagian daripada komuniti Facebook, anda boleh memadamkan akaun anda pada bila-bila masa. 2. Penggantungan atau penamatan akaun
Kami ingin menjadikan Facebook sebagai sebuah tempat di mana orang ramai berasa dialu-alukan dan selamat untuk meluahkan perasaan mereka serta berkongsi pandangan dan idea mereka. Jika kami menentukan bahawa anda telah secara jelas, serius atau berulang kali melanggar Terma atau Dasar kami, termasuk khususnya Standard Komuniti kami, kami boleh menggantung atau menyahdayakan akses kepada akaun anda secara kekal. Kami juga boleh menggantung atau menyahdayakan akaun anda jika anda melanggar hak harta intelek orang lain berulang kali atau jika kami dikehendaki berbuat demikian atas sebab undang-undang. Apabila kami mengambil tindakan sedemikian, kami akan memberitahu anda dan menerangkan sebarang pilihan yang anda ada untuk meminta semakan, melainkan apabila berbuat demikian boleh mendedahkan kami atau orang lain kepada liabiliti undang-undang; memudaratkan komuniti pengguna kami; menjejaskan atau mengganggu integriti atau operasi mana-mana perkhidmatan, sistem atau Produk kami; atau jika kami dihadkan kerana batasan teknikal; atau jika kami dilarang melakukannya atas sebab undang-undang. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang tindakan yang boleh anda lakukan jika akaun anda telah dinyahdayakan dan cara untuk menghubungi kami jika anda berpendapat bahawa kami telah menyahdayakan akaun anda secara tidak sengaja. Jika anda memadam atau kami menyahdayakan akaun anda, Terma ini akan menamatkan perjanjian antara anda dengan kami, namun peruntukan berikut akan dikekalkan: 3, 4.2-4.5. 3. Had liabiliti
Kami berusaha untuk menyediakan Produk terbaik dan menyatakan garis panduan yang jelas kepada setiap orang yang menggunakannya. Produk kami, walau bagaimanapun, disediakan "seperti adanya" dan kami tidak memberi jaminan bahawa Produk ini akan sentiasa selamat, terjamin atau bebas ralat atau akan berfungsi tanpa gangguan, kelewatan atau ketidaksempurnaan. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, kami juga MENAFIKAN SEMUA JAMINAN, SAMA ADA YANG TERSURAT ATAU TERSIRAT, TERMASUK WARANTI TERSIRAT KEBOLEHNIAGAAN, BERSESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU, HAK MILIK, DAN TIADA PELANGGARAN. Kami tidak mengawal atau mengarah perlakuan atau pernyataan orang ramai dan kami tidak bertanggungjawab terhadap tindakan atau kelakuan mereka (sama ada dalam talian atau luar talian) atau apa-apa kandungan yang mereka kongsikan (termasuk kandungan yang menyinggung, tidak sesuai, bersifat lucah, menyalahi undang-undang dan kandungan lain yang tidak menyenangkan). Kami tidak dapat meramalkan masa sesuatu isu yang mungkin timbul berkaitan dengan Produk kami. Oleh yang demikian, liabiliti kami hendaklah terhad sepenuhnya setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan dan kami tidak akan bertanggungjawab kepada anda dalam mana-mana keadaan terhadap apa-apa kehilangan keuntungan, hasil, maklumat atau data atau turutan, khas, tidak langsung, teladan, punitif atau ganti rugi sampingan yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma ini atau Produk Facebook, walaupun jika kami telah dinasihatkan tentang kemungkinan ganti rugi sedemikian. Liabiliti agregat kami yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma ini atau Produk Facebook tidak akan lebih tinggi daripada $100 atau jumlah yang anda telah bayar kepada kami dalam dua belas bulan yang lalu. 4. Pertikaian
Kami berusaha menyediakan peraturan yang jelas supaya kami dapat mengehadkan serta mengelakkan pertikaian berlaku antara anda dengan kami. Jika pertikaian timbul, amat berguna untuk mengetahui terlebih dahulu di mana ia dapat diselesaikan dan undang-undang yang akan terpakai. Untuk apa-apa tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian yang anda ada terhadap kami yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma atau Produk Facebook ("tuntutan"), anda bersetuju bahawa tuntutan ini akan diselesaikan secara eksklusif di Mahkamah Daerah A.S. untuk Daerah Utara California atau sesebuah mahkamah daerah yang terletak di San Mateo County. Anda juga bersetuju untuk mengemukakan kepada bidang kuasa persendirian di salah satu daripada mahkamah ini untuk tujuan litigasi tuntutan tersebut dan bahawa undang-undang Negeri California akan mentadbir Terma ini dan apa-apa tuntutan, tanpa mengambil kira konflik peruntukan undang-undang. 5. Lain-lain
- Terma ini (dahulunya dikenali sebagai Pernyataan Hak dan Tanggungjawab) ialah perjanjian keseluruhan antara anda dan Facebook, Inc. berkenaan penggunaan anda ke atas Produk kami. Terma ini menggantikan sebarang perjanjian terdahulu.
- Sesetengah Produk yang kami tawarkan juga ditadbir mengikut terma tambahan. Jika anda menggunakan sebarang Produk tersebut, terma tambahan akan disediakan dan menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan anda. Contohnya, jika anda mengakses atau menggunakan Produk kami untuk tujuan komersial atau perniagaan, seperti membeli iklan, menjual produk, membangunkan aplikasi, mengurus kumpulan atau Halaman untuk perniagaan anda atau menggunakan perkhidmatan penilaian kami, anda perlu bersetuju dengan Terma Komersial kami. Jika anda menyiarkan atau berkongsi kandungan yang mengandungi muzik, anda perlu mematuhi Garis Panduan Muzik kami. Setakat mana sebarang terma tambahan bercanggah dengan Terma ini, terma tambahan akan terpakai sehingga setakat percanggahan tersebut.
- Jika mana-mana bahagian Terma ini didapati tidak boleh dikuatkuasakan, bahagian yang tinggal akan terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya. Jika kami gagal menguatkuasakan mana-mana Terma ini, ia tidak akan dianggap sebagai pengecualian. Apa-apa pindaan atau pengecualian Terma ini mesti dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh kami.
- Anda tidak akan memindah mana-mana hak atau kewajipan anda di bawah Terma ini kepada orang lain tanpa persetujuan kami.
- Anda boleh menugaskan seseorang (dipanggil sebagai kenalan legasi) untuk menguruskan akaun anda sekiranya ia adalah akaun diperingati. Hanya kenalan legasi atau orang yang disahkan dalam wasiat anda atau dokumen serupa yang menyatakan persetujuan yang jelas sahaja boleh mendedahkan kandungan anda selepas kematian atau ketidakupayaan untuk mendapatkan pendedahan daripada akaun anda selepas ia menjadi akaun diperingati.
- Terma ini tidak memberikan apa-apa hak benefisiari pihak ketiga. Semua hak dan kewajipan kami di bawah Terma ini adalah bebas untuk ditugaskan oleh kami berhubung dengan penggabungan, pengambilalihan atau penjualan aset atau melalui kuat kuasa undang-undang atau sebaliknya.
- Anda sedia maklum bahawa kami mungkin perlu mengubah nama pengguna akaun anda dalam situasi tertentu (contohnya, jika seseorang menuntut nama pengguna dan didapati nama tersebut tidak berkaitan dengan nama yang anda gunakan dalam kehidupan seharian).
- Kami sentiasa menghargai maklum balas anda dan cadangan lain berkenaan produk dan perkhidmatan kami. Tetapi anda sedia maklum bahawa kami boleh menggunakan maklumat tersebut tanpa sebarang sekatan atau kewajipan untuk memberi pampasan kepada anda, dan kami tidak diwajibkan untuk merahsiakan maklumat tersebut.
- Kami memelihara semua hak yang tidak diberikan secara nyata kepada anda.
5. Terma dan dasar lain yang mungkin terpakai kepada anda
- Standard Komuniti: Garis Panduan ini menggariskan standard kami tentang kandungan yang anda siarkan di Facebook dan aktiviti anda di Facebook serta Produk Facebook yang lain.
- Terma Komersial: Terma ini juga terpakai sekiranya anda mengakses atau menggunakan Produk kami untuk apa-apa tujuan komersial atau perniagaan, termasuk pengiklanan, pengendalian aplikasi pada Platform kami, menggunakan perkhidmatan pengukuran kami, mengurus kumpulan atau Halaman untuk perniagaan atau menjual barangan atau perkhidmatan.
- Dasar Pengiklanan: Dasar ini menyatakan jenis kandungan iklan yang dibenarkan oleh rakan kongsi yang mengiklan merentasi Produk Facebook.
- Terma Iklan Layan Diri: Terma ini terpakai apabila anda menggunakan antara muka pengiklanan layan diri untuk mencipta, menyerah atau menyampaikan pengiklanan atau komersial lain atau aktiviti atau kandungan yang ditaja.
- Dasar Halaman, Kumpulan dan Acara: Garis Panduan ini terpakai sekiranya anda mencipta atau mentadbir Halaman Facebook, kumpulan atau acara, atau sekiranya anda menggunakan Facebook untuk berkomunikasi atau menguruskan promosi.
- Dasar Platform Facebook: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai kepada penggunaan Platform kami (contohnya, untuk pembangun atau pengendali aplikasi atau laman web Platform atau sekiranya anda menggunakan pemalam sosial).
- Terma Pembayaran Pembangun: Terma ini terpakai kepada pembangun aplikasi yang menggunakan Pembayaran Facebook.
- Terma Pembayaran Komuniti: Terma ini tertakluk kepada pembayaran dibuat atas atau melalui Facebook.
- Dasar Perdagangan: Garis Panduan ini menggariskan dasar yang terpakai semasa anda menawarkan produk dan perkhidmatan untuk dijual di Facebook.
- Sumber Jenama Facebook: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai untuk menggunakan tanda dagangan, logo dan tangkapan skrin Facebook.
- Garis Panduan Muzik: Garis Panduan ini menggariskan dasar yang terpakai jika anda menyiar atau berkongsi kandungan yang mengandungi muzik di Facebook.
Tarikh Semakan Terakhir: 31 Julai 2019