Malay

Pelajar luar negara dan peranan Ombudsman

Penyedia pendidikan dan latihan untuk pelajar luar negara perlu mematuhi Akta Perkhidmatan Pendidikan Komanwel untuk Pelajar Luar Negara 2000 (Akta ESOS) (Commonwealth Education Services for Overseas Students Act 2000 (ESOS Act)). Akta ESOS mewujudkan keperluan dan piawaian untuk pengawalseliaan penyedia pendidikan dan latihan yang menawarkan kursus kepada pelajar antarabangsa di Australia dengan visa pelajar. Di bawah Akta ESOS, penyedia pendidikan mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi Kod Kebangsaan (National Code). Maklumat lanjut tentang kerangka perundangan ESOS boleh didapati di:
https://internationaleducation.gov.au/regulatory-information/pages/regulatoryinformation.aspx
 
Dalam keadaan tertentu, penyedia perlu melaporkan penggantungan atau pembatalan enrolmen pelajar luar negara kepada Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan. Ini memberi kesan pada visa pelajar yang boleh dibatalkan. Namun, di bawah Kod Kebangsaan, penyedia tidak boleh melaporkan pembatalan atau penggantungan enrolmen pelajar (untuk kemajuan atau kehadiran kursus yang tidak memuaskan) kepada jabatan sehingga pelajar telah diberikan peluang untuk mendapatkan semakan semula dari agensi yang mengendalikan aduan luar. Bergantung pada sama ada penyedia persendirian atau awam, semakan semula luar tentang aduan boleh dijalankan oleh Ombudsman Pelajar Luar Negara (Overseas Student Ombudsman) atau Ombudsman Victoria (Victorian Ombudsman).

Peranan Ombudsman Pelajar Luar Negara

Ombudsman Pelajar Luar Negara (OSO) menyiasat aduan dari pelajar luar negara tentang sekolah, kolej atau universiti persendirian di Australia. Maklumat lanjut tentang OSO dan cara menghubungi pejabat OSO boleh didapati di:
http://www.oso.gov.au/

Peranan Ombudsman Victoria

Ombudsman Victoria menyiasat aduan dari pelajar luar negara tentang penyedia pendidikan awam.
 
Ombudsman ialah seorang pegawai bebas Parlimen Victoria. Peranannya di bawah Akta Ombudsman 1973 (Ombudsman Act 1973) adalah untuk membuat pertanyaan dan menyiasat aduan tentang tindakan dan keputusan pentadbiran jabatan kerajaan, kebanyakan pihak berwajib undang-undang dan kerajaan tempatan Victoria.
 
Anda boleh menghubungi pejabat kami jika anda tidak pasti jika Ombudsman boleh mengambil kira aduan anda tentang penyedia pendidikan tertentu.

Apakah yang dilihat oleh Ombudsman?

Apabila kami melihat aduan tentang penyedia pendidikan, kami akan memerhatikan fakta, undang-undang relevan dan polisi serta prosedur penyedia untuk menilai jika penyedia telah bertindak secara adil dan wajar.
 
Kami bebasa dan tidak menyokong anda atau penyedia pendidikan.

Membuat aduan kepada kami

Anda hendaklah mematuhi semua langkah yang ditawarkan melalui proses semakan dalaman penyedia pendidikan sebelum membuat aduan kepada Ombudsman. Jika anda telah melakukan hal ini dan masih juga tidak berpuas hati, anda boleh memfailkan aduan bertulis pada kami. Anda boleh menghubungi kami melalui telefon untuk membincangkan tentang aduan anda sebelum menghantar aduan bertulis anda.  Terdapat jurubahasa telefon dan di tapak percuma – sila hubungi 131 450 untuk jurubahasa telefon.  Aduan bertulis boleh dihantar melalui surat, faksimili, e-mel, secara bersemuka atau melalui borang aduan dalam talian pada laman web kami.
 
Dalam aduan, anda hendaklah menjelaskan sebab anda percaya bahawa keputusan penyedia pendidikan tidak adil atau tidak mematuhi polisi dan prosedurnya. Anda mestilah juga menyertakan salinan dokumen dan maklumat sokongan termasuk surat-menyurat kepada dan daripada penyedia tentang aduan anda.

Terjemahan

Terjemahan lembaran fakta ini dalam bahasa Arab, bahasa Indonesia, bahasa Korea, bahasa Mandarin dan bahasa Vietnam boleh didapati di: 
http://www.ombudsman.vic.gov.au/www/html/72-translations.asp.
 
Terjemahan tentang cara membuat aduan kepada Ombudsman dalam 19 bahasa boleh juga didapati pada pautan di atas.
 
Sila ambil maklum: Dokumen ini hanyalah sebagai panduan sahaja. Atas sebab ini, maklumat yang terkandung di dalamnya sepatutnya tidak boleh dijadikan sebagai nasihat undang-undang atau ganti nasihat undang-undang dalam kes individu. Setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, Ombudsman Victoria tidak menanggung apa-apa kerugian atau kerosakan yang anda alami kerana bergantung pada dokumen ini. Untuk versi terkini tentang Akta yang dirujuk, sila rujuk www.legislation.vic.gov.au.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
© Hak Cipta State of Victoria 2012
Karya ini karya hak cipta.  Anda boleh menerbitkan semula bahan ini untuk kegunaan peribadi, bukan komersial anda atau kegunaan dalam organisasi anda. Anda boleh mengedarkan salinan bahan yang dimuat turun dalam bentuk lengkap dan tanpa perubahan sahaja (dengan mengekalkan apa-apa logo, elemen grafik, bunyi, imej, pengepala dan pengaki). Selain apa-apa kegunaan yang dibenarkan di bawah Akta Hak Cipta 1968, semua hak lain terpelihara. 

Butiran Hubungan

Victorian Ombudsman
Aras 1 North Tower
459 Collins Street
Melbourne VIC 3000
Laman web       www.ombudsman.vic.gov.au
Telefon                           03 9613 6222
Tanpa tol                        1800 806 314
Faks                                03 9614 0246
TTY                                 133 677 atau
                                        1800 555 677
Khidmat jurubahasa         131 450