Kelapa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pokok Kelapa
Gambar rajah pokok kelapa.
Pengelasan saintifik
Alam: Plantae
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Liliopsida
Order: Arecales
Famili: Arecaceae
Genus: Cocos
Spesies: C. nucifera
Nama binomial
Cocos nucifera
(L.)

Kelapa (bahasa Inggeris: coconut, tulisan Cina 椰) atau juga dikenali sebagi nyiur adalah tumbuhan saka, tempoh ekonomi adalah melebihi 25 tahun. Pokoknya boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi. Ia didapati di semua kawasan tropika. Keseluruhan pokok kelapa dapat dimanfaatkan kepada pelbagai guna.

Pokok kelapa (Cocos nucifera L.) adalah ahli keluarga Arecaceae (keluarga palma). Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma yang besar, tumbuh setinggi 30 meter, dengan pelepah daun (pinnate) sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun (pinnae) sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin.

Asal[sunting | sunting sumber]

Asal pokok kelapa telah menjadi perbahasan dengan sesetengah pihak berkuasa mendakwa bahawa ia berasal dari semenanjung Asia Tenggara sementara yang lain pula mendakwa bahawa ia berasal di barat laut Amerika Selatan.

Rekod fosil di New Zealand menunjukkan pokok kecil seperti kelapa tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Fosil yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar disebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 cm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah. Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai. Bagaimanapun di Kepulauan Hawaii, pokok kelapa dianggap diperkenalkan oleh orang Polinesia, pertama diperkenalkan ke kepulauan oleh pelayar Polinesia dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.

Varieti[sunting | sunting sumber]

Varieti kelapa jantong.

Varieti-varieti kelapa yang terdapat di Malaysia ialah:-

  1. Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall )
  2. Kelapa Rendah Merah Malaya (Malayan Red Dwarf, MRD)
  3. Kelapa Rendah Kuning Malaya (Malayan Yellow Dwarf, MYD)
  4. Kelapa Rendah Hijau Malaya (Malayan Green Dwarf, MGD)
  5. Kelapa MAWA (Malayan Dwarf X West Afrcan Tall)
  6. Kelapa MATAG (MYD/MRD X Tagnanan Tall)
  7. Kelapa Tinggi Afrika Barat
  8. Kelapa Tinggi Tagnanan
  9. Kelapa Tinggi Rennel
  10. Kelapa Wangi (Aromatic Dwarf)
  11. Kelapa MAREN (MYD.MRD X Rennel Tall)
  12. Kelapa MAMA (MYD/MRD X Malayan Tall)

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Buah kelapa tua dibiarkan bercambah dan ditanam di tapak tetap dan turut ditanam pindah sebagai pokok hiasan dalam lanskap. Bagi kelapa yang tinggi ia selalunya lambat matang dan berbunga semasa usia 6-10 tahun. Kelapa tinggi boleh hidup sampai 100 tahun dan tahan lasak iaitu boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dan jenis tanah. Bagi kelapa rendah, ia berbunga 3 tahun selepas ditanam dengan ketinggian tidak melebihi 1 meter. Kelapa rendah mungkin memberi hasil sehingga berusia 70 tahun.

Penyakit dan perosak[sunting | sunting sumber]

Pokoknya boleh dijangkiti penyakit yang disebabkan kulat, bakteria dan virus yang boleh menyebabkan paksi tengah pokok menjadi busuk, batang menjadi reput dan berdaun kuning. Kulat juga boleh membunuh pokok kelapa. Perosak yang paling besar adalah kumbang badak dan kumbang hitam. Buah kelapa dimakan tupai dan di sesetengah tempat buahnya dimakan ketam kelapa.

Buah[sunting | sunting sumber]

Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali sebagai pepauh (ataupun drup) bergentian (bukannya "kacang"). Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Apabila dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet yang merupakan istilah bahasa Portugis iaitu coco.

Susunan varieti kelapa di Malaysia semasa di MAHA.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan". Kegunaan pelbagai bahagian kelapa termasuk:

  • batang kelapa boleh dibuat titi serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai
  • daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan
  • lidi kelapa boleh dibuat penyapu
  • sabut kelapa boleh dibuat tali
  • tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan
  • serbut sabut boleh dibuat bahan reput dan kompos dalam pertanian
  • minyaknya sebagai minyak masak, minyak pelita dan sabun

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Buah[sunting | sunting sumber]

Air daripada buah kelapa boleh diminum dan isi kelapa yang lembut boleh dimakan mentah. Kelapa muda juga dikukus, direbus atau dipanggang sebelum airnya diminum dan isinya dimakan. Dalam masyarakat Melayu terutamanya, kelapa tua diproses untuk dijadikan kelapa parut, santan dan minyak masak seharian.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]