Opera

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Teatro alla Scala di Milan, Itali. Ditubuhkan pada 1778, Teatro alla Scala ialah rumah opera yang amat berprestij dan terkenal

Opera ialah teater muzikal yang mana keseluruhan pementasannya disampaikan dalam bentuk nyanyian dan lagu. Opera bermula di Itali pada sekitar tahun 1600 dan kebiasaannya dihubungkaitkan dengan muzik klasikal tradisi Eropah ataupun dikenali sebagai muzik barat. Opera menggunakan unsur-unsur teater percakapan seperti pemandangan (untuk pentas dan latar belakangnya), kostum yang bersesuaian dengan tajuk opera, dan juga seni lakonan. Walau bagaimanapun, dibandingkan dengan pementasan drama biasa, opera secara umumnya dikenali ramai dengan kepentingan lagu-lagunya dan teknik nyanyian vokal. Penyanyi opera menyanyi bersama kumpulan muzik yang boleh merangkumi kumpulan muzik yang sederhana besar sehingga ke kumpulan muzik yang besar seperti simfoni penuh ataupun lebih dikenali sebagai orkestra. Opera juga disampaikan dalam bentuk tarian, terutamanya opera Perancis berdasarkan sejarahnya.

Terdapat banyak perbandingan bentuk seni dari lain-lain jenis teater opera di dunia dan kebanyakannya berasal dari seni lama atau purbakala yang kadang-kala juga dipanggil “opera” sebagai analogi kepada pembuka kata adjektif merujuk kepada bahagian-bahagian dunia yang lain seperti opera cina. Tradisi bebas begini (contohnya opera cina) tidak diambil dari opera Eropah dan ia juga berbentuk agak berbeza dengan teater muzikal. Opera bukanlah hanya satu-satu jenis teater muzikal barat; di dalam dunia kuno pementasan lakonan Greek ada juga nyanyian yang ditemani dengan alat-alat muzik; dan juga di masa kini, terdapat juga bentuk teater muzikal contohnya “Broadway".

Terdapat banyak istilah-istilah opera di dalam rencana ini. Untuk pemahaman lanjut, istilah-istilah opera bahasa Inggeris dipautkan di dalam seksyen 7 (pautan wikipedia bahasa Inggeris) bagi para pembaca memahami istilah-istilah opera yang masih belum dibuat di dalam wikipedia bahasa Melayu.

Istilah opera[sunting | sunting sumber]

Kerjaseni opera dirujukkan kepada istilah “libreto” di dalam bahasa Itali yang bermaksud “buku untuk kerja muzik lanjutan”. Sesetengah penggubah seperti Richard Wagner, menulis libreto sendiri manakala yang lain kebiasaannya berkerjasama dengan libretis yang lain seperti Mozart dan Lorenzo da Ponte. Opera tradisional terdiri dari 2 corak nyanyian iaitu “resitatif” (jalan atau jalinan sesuatu cerita disampaikan dalam bentuk bukan melodi cara opera), dan aria (cara penyampaian emosi sesebuah lagu berdasarkan jalan cerita dalam struktur melodi). Nyanyian berduet, nyanyian tiga penyanyi dan juga nyanyian berkumpulan kerap dibuat manakala nyanyian koir kebiasaannya digunakan untuk memberi ulasan kepada sesuatu aksi di dalam pementasan opera. Di dalam sesetengah jenis opera seperti “Singspiel” (pementasan muzik Jerman), “opéra comique”, opereta (opera berskala kecil), dan “semi-opera” (opera awal yang dibentuk di England antara 1673 dan 1710), kebiasaannya “resitatif” digantikan dengan dialog percakapan. Penyampaian melodi atau separa melodi dibuat pada pertengahan pementasan atau daripada resitatif yang juga merujuk sebagai “arioso” (nyanyian solo opera di antara resitatif dan aria). Ketika era zaman barok dan era zaman klasikal, resitatif muncul di dalam 2 bentuk asas: “secco” (resitatif dasar) ditemani hanya dengan “continuo” (nyanyian atau mainan muzik berterusan) yang kerap dibuat tetapi tidak lebih dari penggunaan alat muzik “harpsichord” (piano eropah); atau accompagnato (dikenali juga sebagai "stromentato") yang mana ditemani oleh orkestra. Pada kurun ke-19, accompagnato mendapat populariti dari ramai penonton dan membuatkannya dimainkan di dalam bahagian yang lebih besar. Richard Wagner mula merevolusikan opera dengan menghapuskan bahagian yang membezakan aria dan resitatif di dalam misinya yang dipanggil “melodi yang tiada kesudahannya”. Semenjak itu, ramai penggubah mula mengikut langkah Wagner kecuali beberapa penggubah seperti Stravinsky, di dalam operanya yang berjudul The Rake's Progress. Perbezaan suara-suara penyanyi opera diterangkan dengan lebih lanjut di dalam seksyen 3 dibawah.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal[sunting | sunting sumber]

Claudio Monteverdi

Perkataan “opera” bermakna “kerja-kerja” di dalam bahasa Itali (diambil dari bahasa Latin, “opus” yang bermaksud “kerja” atau “kerja keras”) dianggap sebagai campuran seni solo dan nyanyian koir, deklamasi, lakonan dan tarian di atas pentas dengan gilang gemilang. Opera “Dafne” ditulis oleh penggubah Jacopo Peri dianggap sebagai gubahan opera yang terawal. Ia ditulis pada sekitar 1597, diambil dari sumber inspirasi golongan elit “Florentine Camerata”, sebuah kumpulan terdiri dari penyokong humanisme, ahli muzik, penyair dan ahli cerdik pandai.

“Dafne” ternyata sama sekali sebagai satu pendekatan untuk mengembalikan “tragedi Greek” klasikal, dan juga untuk mengembangkan pengembalian ciri-ciri antikuiti era zaman pembaharuan. Pada pendapat ahli-ahli “Florentine Camerata”, bahagian koir di dalam pementasan lakonan Greek sebenarnya ialah bahagian nyanyian dan berkemungkinan juga untuk keseluruhan teks bagi kesemua peranan. Oleh itu, Opera “Defne” (opera awal) dibuat untuk mengembalikan kegemilangan tersebut. Namun begitu, opera “Dafne” kini hilang dan tidak kekal lama. Kerjaseni Peri yang berikutnya “Eurice”, dibuat pada sekitar 1600, adalah salah satu opera awal yang kekal sehingga ke hari ini.

Opera awal yang masih lagi kerap dilakonkan ialah “Orfeo”, digubah oleh Claudio Monteverdi, yang pertamakali dilakonkan di Mantua, Itali. [2]

Opera Itali[sunting | sunting sumber]

Era Barok[sunting | sunting sumber]

Opera tidak kekal lama untuk penonton bangsawan sahaja; pada tahun 1937 di Venice, cadangan untuk festival tahunan kristian bagi opera tontonan ramai disokong hebat oleh ramai pihak dan membantu penjualan tiket yang besar. Penggubah Monteverdi berpindah dari menetap di bandar beasr ke sebuah pekan kecil, Mantua, Itali dan menggubah opera terakhirnya Il ritorno d'Ulisse in patria and L'incoronazione di Poppea, untuk teater Venetian pada 1640an. Pengikut beliau yang terpenting, Francesco Cavalli menolong menghebahkan persembahan – persembahan opera beliau di serata Itali. Pada awal era zaman barok, pementasan opera komedi dicampur dengan elemen- elemen tragik yang juga berunsur kesedaran.

Corak ini membentuk banyak pergerakan – pergerakan opera yang ditaja oleh "Venice's Arcadian Academy". Akademi tersebut bersekutu dengan pemuisi dan penulis, Pietro Antonio Domenico Trapassi, yang mana libretti beliau membantu pembentukan "opera seria" yang kemudiannya menjadi corak utama untuk opera Itali pada akhir abad ke-18. Setelah ideal penggubah Metastasian sudah menjadi corak opera yang diterima ramai, opera komedi pada era zaman barok kini dikenali sebagai “opera buffa”. [3]

Di dalam “opera seria”, nada dipertingkatkan dan cara baru yang bermutu tinggi diperkenalkan, kebiasaannya terdiri dari resitatif “secco” dicampur dengan aria “de kapo” yang panjang. Ia memberi peluang yang hebat untuk nyanyian virtoustik dan pada zaman kegemilangan “opera seria” menjadikan penyanyi-penyanyi opera sebagai bintang pujaan ramai. Watak untuk pelakon utama lelaki biasanya ditulis untuk suara kastrato, seperti penyanyi kastrato Farinelli dan Senesino, begitu juga penyanyi wanita soprano seperti Faustina Bordoni. Persembahan begini mendapat permintaan meluas di seluruh eropah, menjadikan “opera seria” sebagai jenis opera yang utama kecuali di negara Perancis. Opera Itali tetap dengan piawaian opera jenis era zaman barok sebagai corak utama opera mereka, walau pun ketika itu, penggubah terkenal Jerman seperti George Frideric Handel juga mula menulis corak “opera seria” untuk penonton di London. Libretti Itali kekal sebagai opera dominasi sehingga ke era muzik klasikal sebagai contoh, opera – opera yang ditulis oleh Wolfgang Amadeus Mozart di Vienna pada penghujung abad tersebut. Penggubahpenggubah utama “opera seria” kelahiran Itali termasuklah Alessandro Scarlatti, Vivaldi dan Porpora.[4]

Reformasi - Serangbalas Glick terhadap ideal Metastasio, dan Mozart[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa kelemahan dan kritikan pada "opera seria" seperti beberapa perubahan ketara yang dibuat untuk penyanyi-penyanyi terlatih dan berpengalaman, penggunaan permandangan (latar belakang kebiasaannya) sebagai ganti kepada nilai sejati opera yang akhirnya menimbul banyak tindak balas dari ramai orang.

Tulisan Francesco Algarotti yang berjudul Essay on the Opera (1755), terbukti menjadi inspirasi untuk Christoph Willibald Gluck untuk membuat reformasi terhadap perubahan-perubahan yang dibuat. Beliau menyeru agar "opera seria" dibawa balik seperti corak opera asal yang merangkumi pelbagai elemen – elemen muzik (vokal dan instrumental), balet dan pementasan; kesemua faktor itu wajib diikuti untuk kepentingan opera.

Beberapa penggubah pada era itu seperti Niccolò Jommelli dan Tommaso Traetta, cuba meletakkan ideal ini sebagai amalan untuk opera-opera mereka. Percubaan pertama mereka mencapai kejayaan dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada sejarah opera. Walau bagaimanapun Gluck ingin lebih dari kejayaan, beliau ingin mencapai "beautiful simplicity" (sesuatu yang mudah dan cantik).

Ini diilustrasikan dalam opera beliau yang berjudul Orfeo ed Euridice, dimana dikatakan terdapat kekurangan di dalam bahagian vokal yang dianggap kurang baik daripada kerjaseni penggubah Handel yang disokong oleh harmoni mudah dan diakui sebagai terbaik untuk kebiasaan kerja muzik orkestra.

Reformasi Gluck telah menjadi sesuatu yang penting dalam sejarah opera. Kerjaseni penggubah-penggubah seperti Weber, Mozart dan Wagner contohnya, banyak dipengaruhi oleh ideal ini. Mozart, yang dianggap sebagai anak didik Gluck, menggabungkan kepintaran dan kecemerlangan seni lakonan, harmoni, melodi dan kaunterpoin untuk menulis siri-siri opera komik seperti Così fan tutte, The Marriage of Figaro, dan Don Giovanni (kerjasama dengan Lorenzo Da Ponte) yang kekal hingga ke hari ini sebagai opera yang paling diminati, popular dan dikenali ramai.

Tetapi sumbangan Mozart kepada "opera seria" dianggap sebagai mempunyai seni campuran; pada zaman beliau menggubah, seni itu telah mula pudar dan walaupun beliau mempunyai kerjaseni yang cemerlang seperti Idomeneo dam La Clemenza di Tito, beliau gagal untuk membawa balik seni bentuk itu untuk hidup kembali. [5]

Bel kanto, Verdi dan verismo[sunting | sunting sumber]

Giuseppe Verdi, gambar oleh Giovanni Boldini, 1886 (Dipamirkan di National Gallery of Modern Art, Rome)

Pergerakan opera bel kanto mula berkembang pada awal abad ke-19 dan diperkenalkan oleh opera-opera gubahan Gioachino Rossini, Vincenzo Bellini, Gaetano Donizetti, Giovanni Pacini, Saverio Mercadante dan ramai lagi penggubah muzik dan opera. Lebih tepat dengan gelaran “nyanyian merdu” (beautiful singing), nama bel kanto diambil dari nama sekolah nyanyian stylistic Itali. Lagu-lagu dan skrip nyanyian bel kanto kebiasaan adalah berbunga-bunga dan amat rumit yang memerlukan penyanyi yang berbakat yang tinggi, ketangkasan suara dan kemampuan mengawal pic.

Berikutan dengan era bel kanto, satu corak yang lebih terus dan juga lebih bertenaga digerak dan dipopularkan oleh penggubah Giuseppe Verdi, bermula dengan Nabucco, opera yang berunsur bibal. Opera-opera Verdi berkembang dengan kenaikan semangat nasionalism Itali di dalam era Napoleon, menjadikan beliau sebagai seorang yang amat penting di dalam pergerakan patriotik Itali.

Pada awal 1850an, Verdi telah menghasilkan tiga opera yang terkenal sehingga ke hari ini iaitu Rigoletto, Il trovatore dan La traviata. Beliau terus menulis opera dengan cara yang digemari ramai, antaranya adalah karya beliau untuk “opera agung” Perancis (French Grand Opera) iaitu Don Carlos. Dua kerja seni beliau yang terakhir menggunakan sumber inspirasi kerja seni Shakespeare, iaitu Otello dan Falstaff. Kerja-kerja seni terbaik beliau menunjukkan betapa jauh opera Itali telah berkembang luas semenjak awal abad ke-19.

Selepas Verdi, sentimen melodrama “realistik” oleh pergerakan opera verismo muncul di Itali. Corak seni ini diperkenalkan oleh penggubah Pietro Mascagni untuk opera Cavalleria Rusticana dan penggubah Ruggiero Leoncavallo untuk Pagliacci yang kemudiannya mendominasi pementasan dunia opera dengan kerja-kerja yang popular seperti penggubah Giacomo Puccini untuk La bohème, Tosca, dan Madama Butterfly.

Penggubah-penggubah opera Itali selepas itu seperti Luciano Berio dan Luigi Nono, mula membuat corak opera dengan mencampurkan sumber-sumber kemodenan.[6]

Opera bahasa Jerman[sunting | sunting sumber]

Ilustrasi opera oleh Wagner untuk Das Rheingold

“Dafne” merupakan opera pertama Jerman digubah oleh Heinrich Schütz pada 1627 (muzik opera ini tidak kekal ke hari ini). Opera Itali menjadi opera terkenal di negara-negara yang berbahasa Jerman sehingga akhir abad ke-18. Walau bagaimanapun, corak asal opera Jerman membangun juga. Pada tahun 1644, penggubah Sigmund Theophil Staden menghasilkan opera pertama Singspiel, corak popular opera berbahasa Jerman yang mana dialog percakapan berselang-seli dengan nyanyian.

Pada akhir kurun ke-17 dan awal kurun ke-18, Teater am Gänsemarkt di Hamburg mempersembahkan opera-opera Jerman oleh penggubah-penggubah Jerman seperti Reinhard Keiser, Telemann dan George Frideric Handel. Namun begitu, ramai penggubah-penggubah Jerman termasuk Handel, Graun, Johann Adolph Hasse dan Gluck, lebih gemar menulis opera untuk bahasa asing terutama bahasa Itali.

Singspiele gubahan Wolfgang Amadeus Mozart seperti Die Entführung aus dem Serai (1782) dan Die Zauberflöte (1791) mennjadi kejayaan yang penting untuk opera Jerman mencapai pengiktirafan antarabangsa.

Tradisi itu dibangunkan pada kurun ke-19 oleh Ludwig van Beethoven untuk opera beliau berjudul Fidelio, yang diinspirasikan oleh kemuncak revolusi Perancis. Carl Maria von Weber menubuhkan pergerakan romantism opera Jerman sebagai cara untuk menentang dominasi opera bel kanto Itali. Opera Der Freischütz (1821) menunjukkan kepintaran beliau dengan membuat atmosfera ajaib. Penggubah-penggubah opera yang lain pada masa itu termasuklah Marschner, Schubert, Schumann dan Lortzing. Walau bagaimanapun , penggubah yang paling penting dan menjadi lagenda ialah Richard Wagner.

Richard Wagner adalah seorang penggubah yang dianggap sebagai paling revolusioner dan kontroversial di dalam sejarah muzik. Beliau bermula dengan pengaruh kerjaseni Carl Maria von Weber dan Meyerbeer, kemudiannya mula mengubah unsur baru untuk konsep opera seperti Gesamtkunstwerk, pelakuran muzik, sajak dan lukisan. Di dalam opera beliau seperti Tristan und Isolde, Die Meistersinger von Nürnberg, Der Ring des Nibelungen dan Parsifal, beliau menghapuskan perbezaan di antara aria dan resitatif untuk memberi nafas baru kepada sesuau yang dipanggil “melodi yang tiada penghujungnya”. Beliau terus menambahkan peranan dan kuasa kepada orkestra dengan mencipta sawang “leitmotiv” yang kompleks seperti mengulangi tema yang kerap disekutukan dengan watak-watak dan konsept opera; dimana beliau bersedia untuk melanggar apa sahaja cara kebiasaan muzik, contohnya tonaliti, untuk mencapai kehendaknya bagi mendapat kepuasan yang mutlak.

Wagner juga membuat dimensi falsafah yang baru kepada opera di dalam kerja-kerja beliau, yang mana kebiasaannya berdasarkan dari cerita-cerita lagenda Germanic atau Arthurian. Wagner juga membina rumah opera miliknya sendiri di Bayreuth, khas untuk kerja-kerja seni dari cara yang beliau sukai. Opera tidak lagi sama selepas kematian Wagner dan ramai penggubah-penggubah merasakan mereka tidak mampu meneruskan warisan Wagner yang dianggap sebagai tugas yang berat.

Walaupun penggubah Richard Strauss menerima cara kerja Wagner tetapi beliau membawanya keseluruhan idea tersebut nya ke arah yang baru. Strauss mula mencapai kejayaan di dalam opera penuh skandal berjudul Salome dan opera tragedi hitam Elektra dan di mana tonalitinya ditarik kepada had yang terakhir. Selepas itu, Strauss menukar cara lain yang mendapatkan beliau kejayaan lebih cemerlang dengan menulis Der Rosenkavalier, di mana Wolfgang Amadeus Mozart dan penari walts Vienna menjadi pengaruh yang kuat seperti juga Wagner. [7]

Opera Perancis[sunting | sunting sumber]

Gambar 1875 untuk opera gubahan Bizet berjudul Carmen

Di dalam persaingan sengit dengan kemasukan opera Itali, satu tradisi Perancis ditubuhkan oleh seorang warga Itali, Jean-Baptiste Lully di istana Raja Louis XIV. Walaupun berasal dari negara asing, Lully menubuhkan “Académie Royale de Musique” (Akademik Muzik Diraja) dan memonopoli opera Perancis dari tahun 1672. Bermula dengan Cadmus et Hermione iaitu sebuah corak opera Perancis, Lully dan rakan liberatinya Philippe Quinault mencipta tragédie en musique ataupun “lirik tragedi Perancis”, sebuah bentuk muzik tari dan tulisan koir yang menjadi amat penting untuk sejarah opera Perancis.

Pada abad ke-18, anak didik Lully terpenting iaitu Jean-Philippe Rameau, telah menggubah 5 tragédies en musique dan juga banyak lagi kerjaseni di dalam genre lain seperti balet-opera, yang dikagumi dan terkenal untuk orkestranya yang besar dan muzik harmoni yang mencabar. Selepas kematian Jean-Philippe Rameau, penggubah Jerman, Christoph Willibald Gluck telah dipujuk untuk membuat 6 persembahan opera di Paris pada tahun 1770an. Pertunjukkan mereka banyak dipengaruhi oleh kerja seni Rameau tetapi lebih telah dipermudahkan dengan fokus yang lebih besar diberikan kepada operanya. Pada masa yang sama pada pertengahan abad ke-18, satu lagi genre opera opera komik mula mendapat populariti di Negara ini. opera komik adalah sama seperti opera Jerman, singspiel, di mana aria-aria nya berselang-seli dengan dialog percakapan. Tokoh-tokoh penting untuk opera komik ialah Pierre-Alexandre Monsigny, Philidor dan Grétry. Ketika revolusi Perancis, penggubah-penggubah yang juga pengikut warisan Gluck seperti Méhul dan Cherubini, membawa satu cara baru kepada genre ini yang mengubah hampir keseluruhan corak lamanya.

Pada 1820an, pengaruh Gluck mula berkurangan apabila opera Itali bel kanto masuk ke negara itu terutamanya dengan ketibaan penggubah Gioachino Rossini di Perancis. Opera Rossini yang berjudul Guillaume Tell membantu pembentukan genre baru iaitu “Grand opera” atau opera agung, sebuah bentuk opera yang paling terkenal dicipta oleh seorang penggubah Jerman, Giacomo Meyerbeer. Pada pertengahan abad ke 19, Jacques Offenbach mencipta opereta, sebuah kerjaseni yang pintar dan agak menjengkelkan untuk Orphée aux enfers; penggubah Charles Gounod pula mendapat kejayaan yang besar untuk Faust; manakala penggubah Bizet untuk Carmen, yang mana membuka mata para penonton untuk menerima opera campuran romantis dan realiti. Opereta, kemudiannya menjadi corak opera yang paling terkenal dari cabang opera komik. Pada masa yang sama, pengaruh Richard Wagner merasa tercabar dengan tradisi Perancis. Ramai para pengkritik Perancis dengan marahnya menolak cara muzik Wagner manakala ramai penggubah Perancis meneruskan cara Wagner dan mendapat kejayaan.

Tokoh-tokoh penggubah terkenal opera Perancis untuk abad ke-20 ialah Ravel, Dukas, Roussel dan Milhaud, begitu juga Francis Poulenc, untuk Dialogues des carmélites yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. [8]

Opera bahasa Inggeris[sunting | sunting sumber]

Henry Purcell

Opera negara lain[sunting | sunting sumber]

Sepanyol juga mempunyai bentuk opera yang tersendiri dikenali sebagai zarzuela. Pada abad ke-18, opera Itali menjadi terlalu kuat dan terkenal dan mengatasi populariti zarzuela.

Penggubah-penggubah Czechoslovakia juga membentuk jenis operanya yang tersendiri pada abad ke-19, bermula dengan penggubah Bedřich Smetana yang menulis 8 opera termasuklah The Bartered Bride yang mendapat perhatian antarabangsa. Penggubah Antonín Dvořák, yang terkenal dengan Rusalka, menulis 13 opera; dan penggubah Leoš Janáček mendapat pengiktirafan antarabangsa pada abad ke-20 untuk kerjaseni beliau Jenůfa, The Cunning Little Vixen, dan Káťa Kabanová.

Tokoh penting untuk opera kebangsaan Hungary ialah penggubah Ferenc Erkel, yang bentuk kerjanya banyak berkaitan dengan tema sejarah. Antara opera-opera terbaik beliau alah Hunyadi László dan Bánk bán. Opera moden Hungary yang terkenal ialah hasil kerja penggubah Béla Bartók untuk Duke Bluebeard's Castle. [9]

Dari teater muzikal balik semula kepada teater opera[sunting | sunting sumber]

Pada akhir 1930an, sesetengah teater muzik mula ditulis dengan cara struktur opera. Ia termasuklah cara penulisan ensembel polifonik kompleks yang menukar pembangunan muzik masa itu. Opera Porgy and Bess banyak dipengaruhi oleh gaya jazz, manakala opereta Candide, yang mana lakonannya agak meleret-leret, jalan cerita berpuisi dan agak pelik untuk cabang opera dibuka untuk tontonan ramai di teater Broadway. Jenis pementasan ini akhirnya mendapat tempat sebagai salah satu cabang opera. Show Boat, West Side Story, Brigadoon, Sweeney Todd, Evita, Les Miserables dan lain-lain lagi adalah jenis lakonan pementasan yang mempunyai corak muzik yang kompleks juga kini mula dimainkan di rumah-rumah opera.

Suara penyanyi opera[sunting | sunting sumber]

Klasifikasi vokal[sunting | sunting sumber]

Penyanyi-penyanyi opera dan peranan yang mereka lakonkan diklasifikasikan mengikut lingkungan suara mereka. Suara penyanyi lelaki diklasifikasikan sebagai bes, bariton-bes, bariton, tenor dan kauntertenor. Suara penyanyi wanita pula diklasifikasikan sebagai kontralto, mezzo-soprano dan soprano. [10] Tambahan lagi, suara penyanyi kerap dikenal pasti dengan ciri-cirinya selain daripada lingkungan suara sahaja seperti, resonans atau warna, kualiti vokal, ketangkasan, kuasa suara dan corak suara (tessitura) yang baik. Oleh itu, seorang penyanyi soprano boleh dikenali sebagai soprano lirik (lyric soprano), koloratura, soubret, spinto, atau soprano dramatik (dramatic soprano). Walaupun istilah-istilah ini tidak menerangkan dengan penuh untuk suara nyanyian, tetapi ciri-ciri suara dan peranan lakonan/nyanyian biasanya berhubungkait dengan pemilihan pelakon/penyanyi opera.

Sistem “Fach” yang berasal dari Jerman adalah kaedah mengklasifikasikan penyanyi - penyanyi, terutamanya penyanyi opera menurut lingkungan suara, berat suara dan warna suara mereka. Suara seseorang penyanyi mungkin berubah secara mendadak dalam tempoh hidupnya. Jarang sekali suara penyanyi mencapai tahap kematangan sehinggalah penyanyi tersebut mencapai umur pertengah 30an.

Sejarah penggunaan bahagian suara[sunting | sunting sumber]

Lingkungan Suara
Suara Wanita
Soprano
Mezzo-soprano
Kontralto (atau Alto)

Suara Lelaki

Kauntertenor (Alto atau Mezzo)
Tenor
Bariton
Bes

Kaitan

Sopranis
Kastrato

Penjelasan di bawah hanya dibuat secara ringkas sahaja. Untuk penjelasan penuh, sila pergi ke rencana utama soprano, mezzo-soprano, alto, tenor, bariton dan bes.

Suara soprano adalah salah satu suara terpenting dalam sejarah opera sebagai suara peranan pelakon wanita utama untuk sesebuah opera. Penekanan penguasaan dalam lingkungan suara yang kini diterima pakai sebagai satu piawaian wajib bermula dari rekaan era muzik klasikal. Sebelum era itu, pemilihan suara dibuat berdasarkan kebolehan dan kepintaran suara mengalunkan irama, bukan mengikut lingkungan suara. Penyanyi soprano amat jarang melepasi atas nota A tinggi, manakala penyanyi kastrato seperti Farinelli, dianggap boleh mencapai nota F atas. Penggubah George Frideric Handel contohnya hanya menulis satu peranan yang suara nyanyiannya melebihi nada C tinggi. Penyanyi kontralto gemar menyanyikan beberapa bahagian repertoir opera sahaja, oleh itu boleh dikatakan penyanyi kontralto hanya memainkan peranan lelaki muda (breeches role). Namun sejak kebelakang ini, kebanyakan peranan-peranan tersebut diberikan kepada kauntertenor.

Penyanyi tenor sudah menjadi sebagai satu simbol kemestian untuk memegang peranan sebagai pelakon lelaki utama atau perwira semenjak dari dahulu lagi. Cabaran yang dikatakan paling sukar untuk dimainkan oleh penyanyi tenor adalah seni kerja opera yang ditulis oleh penggubah Donzetti, yang menulis urutan nota atas 9 C tengah C untuk "La fille du régiment". Penggubah Wagner pula menekankan penggunaan pelakon lelaki yang mempunyai kedalaman suara untuk memegang peranan utama atau seorang hero di dalam operanya, seperti contoh seorang heldentenor. Peranan bes mempunyai sejarah yang panjang di dalam dunia opera, pernah digunakan di dalam “opera seria” untuk selingan lucu (dan sebagai suara yang amat berlainan dengan peranan-peranan yang lain di opera yang selalunya mampu menyanyikan nada tinggi). Repertoir bes adalah besar dan berbeza-beza, merangkumi daripada opera komedi “Don Giovanni “ untuk peranan “buffo” hingga ke opera kebangsawanan seperti peranan “Wotan” untuk “Der Ring des Nibelungen” karya penggubah Wagner.

Pautan Wikipedia Bahasa Inggeris[sunting | sunting sumber]

(Untuk pemahaman lanjut mengenai opera dan jenis-jenisnya)

(Untuk pemahaman lanjut mengenai terminologi dari rencana di atas)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Informasi umum mengenai bahagian ini diambil dari rencana The Oxford Companion to Music, oleh P.Scholes (10th ed., 1968).
  2. Oxford Illustrated History of Opera, Bab 1; rencana mengenai Peri dan Monteverdi dalam The Viking Opera Guide.
  3. Sebelum elemen-elemen tersebut muncul dari “opera seria”, banyak libretti sudah menunjukkan pepecahan di dalam plot pementasan lakonan komedi seperti kemunculan “opera di dalam sebuah opera”. Salah satu sebab ialah untuk menarik minat penonton yang terdiri dari ahli perniagaan baru yang mula bertambah dan orang-orang kaya baru. Opera seria berbentuk kurang kebangsawanan dan ia dibuka untuk tontonan semua golongan masyarakat. Plot-plot berasingan ini hampir dilahirkan semula di dalam membentuk tradisi berasingan yang setengahnya datang dari commedia dell'arte, sebuah pementasan tradisi Itali yang kekal lama (sudah semestinya seperti yang selalu dibuat).
  4. Oxford Illustrated History of Opera, Bab 1-3.
  5. Man and Music: the Classical Era, ed. Neal Zaslaw (Macmillan, 1989); Kemasukan Gluck dan Mozart dalam The Viking Opera Guide.
  6. Oxford Illustrated History of Opera, Bab 5, 8 dan 9. Kemasukan Verdi dalam Viking Opera Guide
  7. Penjelasan umum untuk bahagian ini dari The Oxford Illustrated History of Opera, Bab 1-3, 6, 8 dan 9, dan The Oxford Companion to Music; Rujukan menyeluruh untuk penggubah-penggubah yang tersenarai di dalam The Viking Opera Guide.
  8. The Oxford Illustrated History of Opera, Bab 1-4, 8 dan 9; dan The Oxford Companion to Music (10th ed., 1968); Rujukan untuk setiap penggubah dari The Viking Opera Guide.
  9. Sila rujuk bab Russian, Czech, Polish and Hungarian Opera to 1900 oleh John Tyrrell dalam The Oxford Illustrated History of Opera (1994).
  10. Kadang-kala terdapat juga penyanyi lelaki bersuara tinggi yang mampu menyanyikan lagu dalam lingkungan suara wanita; mereka ini diklasifikasikan sebagai sopranis atau kauntertenor. Kebiasaannya kauntertenor lelaki menyanyikan nada tinggi dengan menggunakan teknik pemalsuan suara yang dipanggil falseto. Berbanding dengan 2 kategori itu, hanya kauntertenor biasanya menyanyi di opera dan kadang-kali menyanyikan babak yang ditulis unutk kastrato, iaitu penyanyi lelaki yang dikembiri ketika masih budak untuk mencegahkan perubahan suara mereka dan membolehkan mereka menyanyi nada tinggi

Buku rujukan[sunting | sunting sumber]

  • The New Grove Dictionary of Opera, disunting oleh Stanley Sadie (1992), 5,448 muka surat, buku ini dianggap terbaik dan terbesar untuk rujukan opera di dalam bahasa Inggeris. ISBN 0-333-73432-7 and ISBN 1-56159-228-5
  • The Viking Opera Guide (1994), 1,328 mukasurat, ISBN 0-670-81292-7
  • The Oxford Illustrated History of Opera, oleh Roger Parker (1994)
  • The Oxford Dictionary of Opera, oleh John Warrack dan Ewan West (1992), 782 pages, ISBN 0-19-869164-5
  • Opera, the Rough Guide, oleh Matthew Boyden et al. (1997), 672 pages, ISBN 1-85828-138-5
  • Opera: A Concise History, oleh Leslie Orrey dan Rodney Milne, World of Art, Thames & Hudson

Pembacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • John Louis DiGaetani, John Louis, An Invitation to the Opera (ISBN 0-385-26339-2)
  • Simon, Henry W. (1946). A Treasury of Grand Opera. Simon and Schuster, New York, NY.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]